Wednesday, July 15, 2009

Alam Persekolahan

Alam persekolahan saya bermula semasa saya berumur 5 tahun. Tadika yang mula-mula saya masuk ialah salah sebuah tadika di Bukit Gedung, Pulau Pinang. Tadika itu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Kemudian Apabila saya berumur 6 tahun, saya didaftarkan di Tabika Perpaduan Bukit Gedung. Ini adalah kerana ia lebih hampir dengan rumah arwah nenek saya yang amat sayangi. Beliau manjaga saya semenjak saya kecil lagi sehinggalah saya berumur lebih kurang 10 tahun. Kalaulah dia masih hidup sekarang, saya pasti akan menjaga beliau dengan sebaik-baiknya. Kepada yang masih mempunyai datuk dan nenek, sayangilah mereka selagi mereka masih ada.

Apabila berumur 7 tahun, bermulalah zaman pendidikan formal bagi semua kanak-kanak. Saya mula melangkah ke alam persekolah ini pada tahun 1996. Saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Seri Permai. Sekolah ini terletak berhampiran dengan rumah. Apabila saya berada di darjah 5, saya sudah pandai pulang berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Saya bersekolah di situ dari darjah 1 hinggalah darjah 6. Zaman sekolah rendah merupakan zaman yang amat menggembirakan dan manis bagi saya. Pada masa ini jugalah kita semua akan belajar untuk berpisah sebentar dengan kedua-dua orang tua kita. Saya masih ingat semasa saya di darjah 1, pada hari pertama persekolahan, saya menangis apabila Abah saya tiada di luar kelas. Kita juga turut diajar untuk berkawan dengan rakan-rakan yang sebaya dengan kita. Pada zaman sekolah rendah, saya tidaklah mempunyai ramai kawan. Semasa zaman kanak-kanak juga kita akan melakukan apa sahaja yang disuruh tanpa sebarang persoalan. Pendidikan di sekolah rendah secara rasminya saya tamatkan pada tahun 2001

Pada tahun 2002, bermula alam sekolah menengah bagi saya. Saya mendapat keputusan yang boleh dibanggakan dalam peperiksaan UPSR dan saya ditawarkan untuk memasuki salah sebuah "control school" di Pulau Pinang. Saya mendapat tawaran untuk memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul. Sekolah ini turut dikenali sebagai sekolah elit kerana ia terletak di kawasan perumahan orang-orang kaya. Saya bersekolah di sini dari Tingkatan 1 hinggalah Tingkatan 3. Pada masa ini jugalah saya mendapat 1 orang rakan karib yang amat rapat dengan saya iaitu Diyana. Kami berdua masih berhubung hingga sekarang walaupun masing-masing berada di tempat yang berlainan. Hanya panggilan telefon dana "SMS" yang menjadi penghubung antara kami berdua. Kenangan semasa saya belajar di sekolah ini tidak mungkin akan saya lupakan kerana in merupakan kenangan persekolah yang paling manis dalam hidup saya.

Selepas mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam aliran teknik. Akhirnya impian saya tercapai apabila saya ditawarkan untuk memasuki salah sebuah sekolah teknik di Pulau Pinang. Pada 14 Februari 2005, saya secara rasminya menjadi pelajar di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra. Saya belajar di sekolah ini selama 2 tahun iaitu di tingkatan 4 dan tingkatan 5. Saya mengambil jurusan kejuruteraan elektrik. Tetapi apabila berada di sekolah ini, barulah saya sedar bahawa bidang kejuruteraan bukanlah bidang yang saya minati sebenarnya. Pelajarannya terlalu susah bagi saya. Terutama matapelajaran Lukisan Kejuruteraan.

Semasa mengambil peperiksaaan SPM, saya terkena deman campak dan ini menyebabkan saya tidak dapat menjawab kertas peperiksaan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Lukisan Kejuruteraan dengan baik. Semasa mengambil peperiksaan, saya diasingkan daripada para pelajar yang lain. Oleh itu, apabila peperiksaan semakin hampir, jagalah kesihatan anda semua. Ini supaya anda dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

Baiklah...
Setakat ini sahaja saya dapat bercerita mengenai kenangan saya semasa di sekolah...
Nanti saya akan sambung menulis ye...
bye2...

No comments: