Friday, April 23, 2010

Ceritaku

Apakah orang yang bertubuh besar tidak layak untuk merasai cinta?’ Itulah persoalan pertama yang muncul dalam fikiran selepas mengetahui bahawa si dia sudah mempunyai kekasih. Jika lelaki yang bertubuh besar, pasti tiada masalah, namun ia sebaliknya bagi wanita. Aku hanya memandang ke dinding sambil berfikir macam-macam alasan untuk menyedapkan hatiku ini. Keesokannya aku bangun dengan semangat dan fikiran yang baru. Aku sedar walaupun aku bertubuh besar, pasti aku mempunyai kelebihan yang lain. Tidak perlulah memandang rendah pada diri kita sendiri. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan diri sendiri. Namun kadang-kadang terbit juga perasaan cemburu dari dalam diri apabila melihat rakan-rakan yang lain mendapat perhatian daripada jejaka-jejaka di luar sana. Ke mana sahaja mereka pergi, pasti ada memandang, dan yang paling penting, dapat mereka dapat memakai apa sahaja jenis pakaian yang cantik. Apakah terdapat diskriminasi terhadap orang yang bertubuh besar? Apakah orang yang bertubuh besar tidak layak untuk kelihatan cantik.

Aku bukanlah jenis orang yang senang tunduk pada perasaan. Aku berterima kasih kepada lelaki tersebut ini adalah kerana disebabkan dia, banyak perubahan yang telah berlaku pada diri aku. Aku dulu merupakan seorang yang tidak ambil kisah akan penampilan diri. Semasa di sekolah menengah, nak meletakkan bedak di muka pun aku tidak suka. Namun segalanya-galanya berubah kerana dia.

Aku masih teringat kali pertama aku menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi. Aku seolah-olah berada di dunia yang baru. Aku berada di tempat yang baru, kawan-kawan baru, suasana yang baru dan segala-galanya serba baru bagi aku. Pada masa ini jugalah aku mengenali satu perasaan yang baru iaitu cinta. Aku terpandang kepada seseorang lelaki dan ia menarik minat aku untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Aku bukanlah jenis perempuan yang mudah untuk mengaku bahawa aku telah jatuh cinta. Tidak semudah itu aku akan jatuh cinta pada seseorang. Dia merupakan pelajar jurusan lain dan aku merupakan pelajar jurusan lain namun kami selalu akan bertemu atau terserempak di perpustakaan. Oleh kerana terlalu kerap bertemu dengannya, aku akui bahawa aku telah jatuh cinta padanya. Tidak sesaat pun berlalu tanpa aku berfikir tentangnya dan membayangkan diriku bersama dengannya. Perasaan aku padanya semakin hari semakin mendalam.

Aku pasti akan menjadi gugup dan berdebar-debar setiap kali memandang wajahnya. Ia merupakan satu perasaan yang baru yang amat aneh sekali bagiku. Aku tidak pernah mengalami perasaan sebegini sebelum ini. Adakah begini rasanya apabila kita telah jatuh cinta? Ia perasaan yang amat aneh sekali. Ia tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata dan hanya orang yang melaluinya sahaja mengetahui bagaimana rasanya jatuh cinta. Ramai rakan-rakan aku yang perasan akan perubahan sikap aku setiap kali bertemu dengannya. Akhirnya aku berterus-terang dengan mereka, bahawa aku telah jatuh cinta dengan dia.

Namun aku akui, aku jenis yang ego. Aku jarang bercakap dengannya walaupun kami bolehlah dikatakan mengenali sesama sendiri. Aku tidak meluahkan perasaanku padanya sehinggalah sekarang. Aku tahu bahawa dia sudah mempunyai kekasih tetapi aku tidak mahu mempercayainya sehinggalah aku mempunyai bukti yang membuktikannya. Aku menambah dia sebagai salah seorang rakan di dalam salah satu laman sosial di internet. Akhirnya bukti sudah terdapat di hadapan mata aku, dia sudah mempunyai kekasih hati apabila terdapat gambar perempuan di dalam laman sosial tersebut dan statusnya berubah daripada bujang kepada mempunyai hubungan khusus. Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaanku pada masa tersebut.

Daripada hari tersebut aku berazam untuk mengubah penampilan. Perkara pertama yang aku ubah ialah, aku mula belajar untuk membeli alat solek. Setiap pagi sebelum kelas aku pasti akan bersolek terlebih dahulu. Walaupun hanya asas tetapi aku berasa puas. Kemudian aku membuat perubahan pada rambut aku. Aku sebenarnya lebih gemar berambut pendek tetapi untuk berubah, aku membiarkan rambutku panjang. Rambut aku boleh diketogorikan sebagai rambut yang tidak cantik. Aku membuat keputusan yang paling drastik iaitu rebonding rambut. Mula-mula aku merasakan muka aku pelik selepas rebonding kerana ia membuatkan mukaku kelihatan berlainan sama sekali.

Semasa cuti semester, setiap hari aku akan berada di hadapan komputer untuk melayari laman web mengenai cara bersolek yang betul. Aku akan bersolek di dalam bilik selama berjam-jam kadang-kadang untuk mendapatkan hasil solekan yang aku mahukan. Kadang-kadang adik perempuan aku yang nombor tiga, yang ku panggil kak chik akan menjadi mangsaku kerana dia menemani aku bersolek dan aku akan bertanyakan pendapat dia samada solekan aku sesuai atau tidak setiap kali selesai bersolek.

Itulah di antara perangai pelik dan gila yang berlaku ke atas diriku gara-gara jatuh cinta pada seorang lelaki. Sekarang aku telah kembali kepada sedia kala. Tiada apa-apa lagi memori mengenainya di dalam kepala ku ini. Namun, aku hargainya perasaan yang hadir di dalam diriku ini walaupun ia hanya sementara. Sekarang, aku mengerti apakah maknanya cinta. Sekali lagi, aku ucapkan terima kasih. Sekarang aku sedar, aku perlu menyayangi diriku terlebih dahulu sebelum aku menyayangi orang lain. Menghargai diri aku dahulu sebelum menghargai orang lain.

Mama aku juga rasanya gembira dengan perubahan aku ini, tetapi dia masih minta aku sesuatu perkara yang aku cuba banyak kali tetapi gagal, iaitu menguruskan badan. Entahlah, ini merupakan kelemahanku. Aku ialah jenis yang suka makan dan makanan tidak dapat dipisahkan dariku. Maafkan Fara mama, apabila sudah tiba masanya, barulah Fara akan mula berdiet. Apakah lelaki suka kepada wanita yang cantik tetapi latar belakangnya buruk? Mempunyai ramai teman lelaki, sudah tidur dengan lelaki lain dan sangat sosial? Entahlah, setiap lelaki pasti mempunyai jawapan kepada persoalanku. Aku sentiasa berdoa agar aku dijauhkan dari segala dugaan dan cubaan dunia.

Aku percaya bahawa persoalan hidup, mati, jodoh dan pertemuan semuanya terletak di tangan Allah S.W.T. dan kita hanya boleh berdoa mengharapkan ia memberikan yang terbaik pada kita. Aku percaya bahawa satu hari nanti, aku akan bertemu dengan seorang lelaki yang baik dah soleh dan bersedia menerimaku seadanya dan mencintaiku dengan seikhlas hatinya.

Maafkan sekiranya ada yang terasa dengan tulisan aku kali ini, ia hanyalah luahan hati dan perasaanku sahaja. Aku memohon maaf dari hujung kaki hingga hujung kepala.

Kehidupan

Dalam hidup ini terdapat pelbagai ragam manusia, ada yang baik, jahat, tegas, lembut dll. Namun kadang-kadang kita akan merasa amat rimas dan meluat dengan sikap orang di sekeliling kita. Sikap yang paling aku benci ialah hipokrit. Di depan kata lain, di belakang kata lain. Aku akui, aku juga bukanlah manusia yang sempurna, kadang-kadang aku rasa seperti bosan dengan sikap orang di sekeliling aku. Aku juga akui aku pernah bersikap hipokrit. Kadang-kadang aku merasakan diri aku ini dipergunakan sewenang-wenangnya. Aku manusia bukannya robot. Aku tahu rasa sakit, pedih terluka, terasa dll. Mungkin kerana aku ini jenis yang selalu memendamkan perasaan aku di dalam hati dan disebabkan itulah aku merasa amat tertekan sekali. Mereka tahu marah dan terasa apabila aku buat perangai, tetapi bila mereka yang buat perangai, pernahkan aku memarahi atau menunjukkan ketidakpuasan hati aku kepada mereka? Aku rasa amat jarang sekali. Kali ini aku nekad, kalau meraka hendak terasa dengan sikap aku, biarlah. Aku sudah puas menjaga perasaan dan memenuhi kehendak mereka. Apakah sukar untuk memahami sikap aku? Entahlah, aku sendiri pun tidak tahu. Aku berdoa agar semester ini merupakan semester terakhir aku di sini. Memang benarlah kata orang, sahabat yang baik dan benar-benar memahami sikap kita amat sukar sekali dicari. Aku tahu, kadang-kadang kita perlu bertolak ansur dan mungkin ramai akan berkata bahawa aku terlalu sensitif. Tetapi siapa sebenarnya yang sensitif, aku atau mereka. Walaupun aku dalam keadaan marah sekali pun, aku masih dapat mengawal emosiku dan ia hanya sebentar sahaja, tidaklah berpanjangan sehingga dua atau tiga hari. Aku juga tidaklah akan melayan orang lain dengan buruk walaupun emosiku kurang stabil. Aku juga mengerti bahawa kadang-kadang mereka tidak sedar bahawa sikap mereka itu telah menyakiti aku

Aku ialah jenis orang yang akan cuba menjaga hati dan perasaan orang lain lebih daripada perasaan aku. Aku masih teringat kata-kata seorang rakanku, dia amat bersyukur kerana menjadi rakanku. Dia mengatakan bahawa aku merupakan seorang kawan yang amat setia sekali, tidak pernah akan meninggalkan kawan dalam keadaan susah atau senang. Yang paling penting, aku tahan dengan sikap degil, panas baran dan keras hatinya. Bagi aku apabila kita bersahabat, kita perlulah menerima sahabat kita seadanya, bukannya mengubahnya megikut kehendak kita. Seorang rakan perlu sentiasa ada di sisi semasa susah atau senang untuk menyokongnya. Kita perlu tahu batas-batas apabila kita berkawan. Jika ia merupakan perkara peribadi, janganlah ditanya melainkan apabila ia hendak bercerita sendiri.

Maafkan aku sekiranya ada yang terasa dengan coretan tulisan aku untuk kali ini. Ini sekadar luahkan hati dan perasaan yang tak dapat aku ungkapkan melalui kata-kata. Maafkan aku sekiranya selama ini kelakuan dan tindak-tanduk aku selama ini banyak menyakiti hati semua orang. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua orang.

Minggu Peperiksaan (20/04/2010 - 09/05/2010)

20 April 2010 - Presentation Fundamentals of Entrepreneurship (ENT 300)
9:10 a.m. - 9.50 a.m.
Lab 2 (Faculty of Accountancy)

21 April 2010 - Administration Office Management (AOM) (OMT 351)
9:00 a.m - 12:00 p.m.
Mini Examination Hall, Faculty of Office Management & Technology

22 April 2010 - Fundamentals of Entrepreneurship (ENT 300)
9:00 a.m. - 12:00 p.m.
Dewan Seri Iskandar

28 April 2010 - Fundamentals of Business Accountancy (ACC 100)
9:00 a.m. - 12:00 p.m.
Mini Examination Hall, Faculty of Office Management & Technology

04 May 2010 - Organizational Behavior (OB) (OMT 360)
2.15 p.m. - 5.15 p.m.
Mini Examination Hall, Faculty of Office Management & Technology

09 May 2010 - Principles of Corporate Compliance (OMT 340)
9.00 a.m. - 11.00 a.m.
Mini Examination Hall, Faculty of Office Management & Technology

Antara Kawan & Sahabat

Kawan ialah seseorang yang boleh kita tukar gantikan. Ia akan datang dan pergi tanpa kita sedari. Kawan ialah seseorang yang kita kenali tetapi ia tidaklah terlalu mendalam. Kita juga tidak akan merasa terlalu sedih apabila terpaksa berpisah dengan dia. Ada kawan yang baik dan ada juga kawan yang jahat. Ada kawan yang amat menyenangkan kita dan ada kawan yang amat menyusahkan kita dan memeningkan kepala kita. Kawan, bilangan amat banyak sekali. Kita mempunyai ramai kawan sejak dari sekolah rendah sehinggalah kita besar.

Sahabat pula amat berbeza sekali. Ia amat sukar dicari dan amat sukar untik mencari gantinya. Untuk mendapatkan seorang sahabat yang baik memerlukan masa yang amat lama dan panjang. Dia akan sentiasa berada di sisi kita semasa senang atau susah. Jika terpaksa berpisah dengannya, kita akan merasa amat sedih sekali. Seorang sahabat akan memahami sikap dan tingkah laku kita. Dia juga akan dapat merasa jika kita berada dalam masalah dan memerlukannya berada di sekeliling kita. Dia juga akan cuba memastikan kita berada dalam keadaan gembira dan jika kita bersedih, dia akan cuba menenangkan kita. Bilangan sahabat juga boleh dibilang dengan jari, mungkin juga, kita hanya mempunyai seorang sahabat baik sepanjang umur kita. Seorang sahabat tahu menghormati diri kita dan dia akan cuba menjaga perasaan kita dengan sebaik-baiknya. Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk diri kita. Dia juga amanah dalam menjaga rahsia sahabatnya. Kita boleh mempercayainya dan menceritakan segala masalah kita padanya tanpa ragu-ragu.

Happy 11th Birthday My Little Sister...

Pada Hari Rabu yang lepas (21/04/2010), adik aku yang ketiga telah menyambut hari lahirnya yang ke 11.

Maafkan Along sebab tak dapat balik menyambut hari lahir bersama-sama dengan Achik sebab Along ada peperiksaan yang perlu dihadapi. Along doakan semoga Achik dipanjangkan umur dan sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T..

Achik kena rajin belajar dan sentiasa ulangkaji pelajaran di rumah. Achik adalah harapan Abah dan Mama. Along dapat melihat dari pandangan mata mereka, iaitu mereka berharap sangat Achik akan menjadi seseorang yang berjaya di masa hadapan dan mengharumkan nama keluarga. Setelah berjaya, janganlah dilupakan pula keluarga yang sentiasa menyokong Achik dari belakang.