Friday, April 23, 2010

Kehidupan

Dalam hidup ini terdapat pelbagai ragam manusia, ada yang baik, jahat, tegas, lembut dll. Namun kadang-kadang kita akan merasa amat rimas dan meluat dengan sikap orang di sekeliling kita. Sikap yang paling aku benci ialah hipokrit. Di depan kata lain, di belakang kata lain. Aku akui, aku juga bukanlah manusia yang sempurna, kadang-kadang aku rasa seperti bosan dengan sikap orang di sekeliling aku. Aku juga akui aku pernah bersikap hipokrit. Kadang-kadang aku merasakan diri aku ini dipergunakan sewenang-wenangnya. Aku manusia bukannya robot. Aku tahu rasa sakit, pedih terluka, terasa dll. Mungkin kerana aku ini jenis yang selalu memendamkan perasaan aku di dalam hati dan disebabkan itulah aku merasa amat tertekan sekali. Mereka tahu marah dan terasa apabila aku buat perangai, tetapi bila mereka yang buat perangai, pernahkan aku memarahi atau menunjukkan ketidakpuasan hati aku kepada mereka? Aku rasa amat jarang sekali. Kali ini aku nekad, kalau meraka hendak terasa dengan sikap aku, biarlah. Aku sudah puas menjaga perasaan dan memenuhi kehendak mereka. Apakah sukar untuk memahami sikap aku? Entahlah, aku sendiri pun tidak tahu. Aku berdoa agar semester ini merupakan semester terakhir aku di sini. Memang benarlah kata orang, sahabat yang baik dan benar-benar memahami sikap kita amat sukar sekali dicari. Aku tahu, kadang-kadang kita perlu bertolak ansur dan mungkin ramai akan berkata bahawa aku terlalu sensitif. Tetapi siapa sebenarnya yang sensitif, aku atau mereka. Walaupun aku dalam keadaan marah sekali pun, aku masih dapat mengawal emosiku dan ia hanya sebentar sahaja, tidaklah berpanjangan sehingga dua atau tiga hari. Aku juga tidaklah akan melayan orang lain dengan buruk walaupun emosiku kurang stabil. Aku juga mengerti bahawa kadang-kadang mereka tidak sedar bahawa sikap mereka itu telah menyakiti aku

Aku ialah jenis orang yang akan cuba menjaga hati dan perasaan orang lain lebih daripada perasaan aku. Aku masih teringat kata-kata seorang rakanku, dia amat bersyukur kerana menjadi rakanku. Dia mengatakan bahawa aku merupakan seorang kawan yang amat setia sekali, tidak pernah akan meninggalkan kawan dalam keadaan susah atau senang. Yang paling penting, aku tahan dengan sikap degil, panas baran dan keras hatinya. Bagi aku apabila kita bersahabat, kita perlulah menerima sahabat kita seadanya, bukannya mengubahnya megikut kehendak kita. Seorang rakan perlu sentiasa ada di sisi semasa susah atau senang untuk menyokongnya. Kita perlu tahu batas-batas apabila kita berkawan. Jika ia merupakan perkara peribadi, janganlah ditanya melainkan apabila ia hendak bercerita sendiri.

Maafkan aku sekiranya ada yang terasa dengan coretan tulisan aku untuk kali ini. Ini sekadar luahkan hati dan perasaan yang tak dapat aku ungkapkan melalui kata-kata. Maafkan aku sekiranya selama ini kelakuan dan tindak-tanduk aku selama ini banyak menyakiti hati semua orang. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua orang.

No comments: