Wednesday, September 23, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2009

Salam. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kerana lambat mengemaskini blog. Baiklah seperti yang semua tahu, kita semua telah selamat menjalani ibadah puasa. Sekarang tiba masa untuk kita meraikannya. Selepas bulan Ramadan berlalu, kini, bulan Syawal pula menjelma. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN. Pada hari raya pertama, saya seperti biasa, akan pulang ke kampung di Balik Pulau. Tahun ini seronok sangat sangat saya beraya, ini kerana Achik dan Mak Su saya yang tinggal di Negeri Sembilan pulang untuk beraya bersama-sama kami. Mereka bertolak dari Negeri Sembilan pada jam 9.30 malam dan sampai di Pulau Pinang pada jam 7.30 malam. Mereka memberitahu keadaan di lebuh raya terlalu sesak. Akhirnya dapat juga saya melihat Alesya, baby Mak Su saya. Seronok betul melayan karenah dia walaupun agak penat. Semoga baby Alesya membesar dengan baik dan menjadi orang yang berguna pada keluarga, masyarakat dan negara. Di Balik Pulau, kami akan menziarahi pusara arwah nenek saya dahulu. Selepas itu kami akan berkumpul di rumah Pak Lang di Titi Teras, Balik Pulau. Rumah Pak Lang saya setiap tahun akan dikunjungi oleh ramai tetamu. Raya kedua kami tidak pergi ke mana-mana, tetapi pada malamnya terdapat jamuan di rumah Pak Lang. Malam itu kami buat BBQ ayam, sedapnya. Pada raya ketiga pula, kami empat keluarga iaitu keluarga saya, Pak Lang, Achik dan Mak Su pergi ke Taiping untuk beraya di rumah Tok Su. Tok Su menyajikan kami dengan pelbagai makanan dan minuman. Saya dapat melihat wajah kegembiraan di wajah tok su apabila anak-anak saudara dan cucu-cucu saudaranya datang melawat dan beraya di rumahnya. Keluarga Achik dan Mak Su saya bertolak pulang ke Negeri Sembilan dari rumah Tok Su. Mereka bertolak pukul 4 petang. Seterusnya pula, keluarga Pak Lang saya pula bertolak pulang, iaitu pada jam 6 petang. Saya dan keluarga saya bertolak pulang pada jam 8.30 malam, selepas ayah saya berbuka puasa. Ayah saya setiap tahun, raya kedua dia akan mula melakukan puasa sunat di bulan Syawal.

Saturday, September 5, 2009

Pertama Kali Pulang Ke Kampung Menaiki Bas

Tarikh 04 September 2009 tidak mungkin akan saya lupakan. Inilah kali pertama saya belajar balik ke Pulau Pinang dari Seri Iskandar dengan menaiki bas dan berseorangan. Bukannya apa, saya sebenarnya takut untuk balik seorang diri. Kerana mahu pulang ke rumah, saya telah membuat keputusan yang mengejut, iaitu pulang ke rumah pada petang itu. Saya bertolak dari UiTM Seri Iskandar dengan menaiki bas awam. Perjalanan dari UiTM Seri Iskandar ke Medan Gopeng mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit. Saya bertolak dari UiTM Seri Iskandar jam 4.00 petang dan sampai di Stesen Bas Medan Gopeng pada jam 5.15 petang. Setelah sampai di Stesen Bas Medan Gopeng, saya membeli tiket bas untuk ke Pulau Pinang dan saya bernasib baik apabila terdapat tiket bas untuk ke Pulau Pinang pada jam 5.30 petang.

Bas yang saya naiki ini akan berhenti dahulu di Stesen Bas Butterworth sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. Perjalanan ini mengambil masa kira-kira 3 jam.

Di dalam bas ini, terdapat 4 orang pelancong asing. Mereka mahu pergi ke Georgetown. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya berbuka puasa di dalam bas. Saya hanya membawa air kosong sahaja. Saya mempunyai telefon bimbit yang mempunyai radio dan apabila waktu Maghrib sudah hampir bas itu berada di kawasan Pulau Pinang. Saya membuka radio Pulau Pinang dan mendengar azan untuk memastikan waktu berbuka telah masuk.

Saya sampai di Pulau Pinangpada jam 8.30 malam. Ayah saya telah sedia menunggu untuk mengambil saya di Stesen Bas Sungai Nibong. Saya berasa amat lega kerana telah selamat sampai di rumah setelah melalui perjalanan yang mengambil masa 4 jam 30 minit ini.

Thursday, September 3, 2009

Bulan Puasa

Bulan yang paling mulia bagi umat Islam di seluruh dunia telah pun kembali. Bulan Ramadhan kali jatuh pada 22 August 2009. Tahun ini, pada 1 Ramadhan, saya berada di kampus. Perasaan sedih terbit di hati saat berbuka puasa kerana terbayangkan ahli keluarga di rumah. Masakan Mama tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun. Tetapi saat manis berbuka di kampus ialah apabila saya dan rakan-rakan bersama-sama membeli juadah berbuka puasa. Jika tidak membeli juadah di Bazaar Ramadhan di dalam bulan kampus, kami akan berbuka puasa di luar. Kemeriahannya terasa apabila kita pergi ke Bazaar Ramadhan dan melihat banyak kelibat manusia membeli juadah untuk berbuka puasa. Sekarang barulah saya dapat bayangkan bagaimana perasaan para pelalar Malaysia yang belajar di luar negara. Bertapa rindunya mereka kepada ahli keluarga mereka terutama di dalam bulan Ramadhan, tetapi saya bernasib baik kerana walaupun berjauhan dari ahli keluarga masih di dalam Malaysia. Saya boleh pulang ke kampung halaman saya pada bila-bila masa sahaja yang saya hendak.

Pada 25 Ogos 2009 yang lalu, Saya memberikan ucapan di hadapan rakan-rakan sekelas. Ini kerana salah satu kursus yang wajib diambil oleh pelajar fakulti saya ialah "Public Speaking". Perasaan takut dan berdebar-debar tak dapat saya gambarkan. Syukur, segalanya telah selesai dan sekarang saya sedang menyediakan teks untuk ucapan kedua pula.Pada jangkaan saya, ucapan kedua akan diadakan selepas hari raya nanti.

Pada 28 Ogos yang lalu, saya telah pulang ke kampung halaman untuk berpuasa bersama-sama ahli keluarga saya. saya juga telah menemani mama saya dan adik perempuan saya membeli-belah. Saya pasti adik perempuan saya akan kelihatan cantik pada raya tahun ini.

Tak sabar rasanya menanti 17 September 2009. Hari itu saya akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya yang dijangkakan jatuh pada 20 September 2009. Saya juga hanya mempunyai masa selama tiga (3) hari untuk membeli pakaian untuk menyambut hari raya.