Friday, April 23, 2010

Ceritaku

Apakah orang yang bertubuh besar tidak layak untuk merasai cinta?’ Itulah persoalan pertama yang muncul dalam fikiran selepas mengetahui bahawa si dia sudah mempunyai kekasih. Jika lelaki yang bertubuh besar, pasti tiada masalah, namun ia sebaliknya bagi wanita. Aku hanya memandang ke dinding sambil berfikir macam-macam alasan untuk menyedapkan hatiku ini. Keesokannya aku bangun dengan semangat dan fikiran yang baru. Aku sedar walaupun aku bertubuh besar, pasti aku mempunyai kelebihan yang lain. Tidak perlulah memandang rendah pada diri kita sendiri. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan diri sendiri. Namun kadang-kadang terbit juga perasaan cemburu dari dalam diri apabila melihat rakan-rakan yang lain mendapat perhatian daripada jejaka-jejaka di luar sana. Ke mana sahaja mereka pergi, pasti ada memandang, dan yang paling penting, dapat mereka dapat memakai apa sahaja jenis pakaian yang cantik. Apakah terdapat diskriminasi terhadap orang yang bertubuh besar? Apakah orang yang bertubuh besar tidak layak untuk kelihatan cantik.

Aku bukanlah jenis orang yang senang tunduk pada perasaan. Aku berterima kasih kepada lelaki tersebut ini adalah kerana disebabkan dia, banyak perubahan yang telah berlaku pada diri aku. Aku dulu merupakan seorang yang tidak ambil kisah akan penampilan diri. Semasa di sekolah menengah, nak meletakkan bedak di muka pun aku tidak suka. Namun segalanya-galanya berubah kerana dia.

Aku masih teringat kali pertama aku menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi. Aku seolah-olah berada di dunia yang baru. Aku berada di tempat yang baru, kawan-kawan baru, suasana yang baru dan segala-galanya serba baru bagi aku. Pada masa ini jugalah aku mengenali satu perasaan yang baru iaitu cinta. Aku terpandang kepada seseorang lelaki dan ia menarik minat aku untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Aku bukanlah jenis perempuan yang mudah untuk mengaku bahawa aku telah jatuh cinta. Tidak semudah itu aku akan jatuh cinta pada seseorang. Dia merupakan pelajar jurusan lain dan aku merupakan pelajar jurusan lain namun kami selalu akan bertemu atau terserempak di perpustakaan. Oleh kerana terlalu kerap bertemu dengannya, aku akui bahawa aku telah jatuh cinta padanya. Tidak sesaat pun berlalu tanpa aku berfikir tentangnya dan membayangkan diriku bersama dengannya. Perasaan aku padanya semakin hari semakin mendalam.

Aku pasti akan menjadi gugup dan berdebar-debar setiap kali memandang wajahnya. Ia merupakan satu perasaan yang baru yang amat aneh sekali bagiku. Aku tidak pernah mengalami perasaan sebegini sebelum ini. Adakah begini rasanya apabila kita telah jatuh cinta? Ia perasaan yang amat aneh sekali. Ia tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata dan hanya orang yang melaluinya sahaja mengetahui bagaimana rasanya jatuh cinta. Ramai rakan-rakan aku yang perasan akan perubahan sikap aku setiap kali bertemu dengannya. Akhirnya aku berterus-terang dengan mereka, bahawa aku telah jatuh cinta dengan dia.

Namun aku akui, aku jenis yang ego. Aku jarang bercakap dengannya walaupun kami bolehlah dikatakan mengenali sesama sendiri. Aku tidak meluahkan perasaanku padanya sehinggalah sekarang. Aku tahu bahawa dia sudah mempunyai kekasih tetapi aku tidak mahu mempercayainya sehinggalah aku mempunyai bukti yang membuktikannya. Aku menambah dia sebagai salah seorang rakan di dalam salah satu laman sosial di internet. Akhirnya bukti sudah terdapat di hadapan mata aku, dia sudah mempunyai kekasih hati apabila terdapat gambar perempuan di dalam laman sosial tersebut dan statusnya berubah daripada bujang kepada mempunyai hubungan khusus. Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaanku pada masa tersebut.

Daripada hari tersebut aku berazam untuk mengubah penampilan. Perkara pertama yang aku ubah ialah, aku mula belajar untuk membeli alat solek. Setiap pagi sebelum kelas aku pasti akan bersolek terlebih dahulu. Walaupun hanya asas tetapi aku berasa puas. Kemudian aku membuat perubahan pada rambut aku. Aku sebenarnya lebih gemar berambut pendek tetapi untuk berubah, aku membiarkan rambutku panjang. Rambut aku boleh diketogorikan sebagai rambut yang tidak cantik. Aku membuat keputusan yang paling drastik iaitu rebonding rambut. Mula-mula aku merasakan muka aku pelik selepas rebonding kerana ia membuatkan mukaku kelihatan berlainan sama sekali.

Semasa cuti semester, setiap hari aku akan berada di hadapan komputer untuk melayari laman web mengenai cara bersolek yang betul. Aku akan bersolek di dalam bilik selama berjam-jam kadang-kadang untuk mendapatkan hasil solekan yang aku mahukan. Kadang-kadang adik perempuan aku yang nombor tiga, yang ku panggil kak chik akan menjadi mangsaku kerana dia menemani aku bersolek dan aku akan bertanyakan pendapat dia samada solekan aku sesuai atau tidak setiap kali selesai bersolek.

Itulah di antara perangai pelik dan gila yang berlaku ke atas diriku gara-gara jatuh cinta pada seorang lelaki. Sekarang aku telah kembali kepada sedia kala. Tiada apa-apa lagi memori mengenainya di dalam kepala ku ini. Namun, aku hargainya perasaan yang hadir di dalam diriku ini walaupun ia hanya sementara. Sekarang, aku mengerti apakah maknanya cinta. Sekali lagi, aku ucapkan terima kasih. Sekarang aku sedar, aku perlu menyayangi diriku terlebih dahulu sebelum aku menyayangi orang lain. Menghargai diri aku dahulu sebelum menghargai orang lain.

Mama aku juga rasanya gembira dengan perubahan aku ini, tetapi dia masih minta aku sesuatu perkara yang aku cuba banyak kali tetapi gagal, iaitu menguruskan badan. Entahlah, ini merupakan kelemahanku. Aku ialah jenis yang suka makan dan makanan tidak dapat dipisahkan dariku. Maafkan Fara mama, apabila sudah tiba masanya, barulah Fara akan mula berdiet. Apakah lelaki suka kepada wanita yang cantik tetapi latar belakangnya buruk? Mempunyai ramai teman lelaki, sudah tidur dengan lelaki lain dan sangat sosial? Entahlah, setiap lelaki pasti mempunyai jawapan kepada persoalanku. Aku sentiasa berdoa agar aku dijauhkan dari segala dugaan dan cubaan dunia.

Aku percaya bahawa persoalan hidup, mati, jodoh dan pertemuan semuanya terletak di tangan Allah S.W.T. dan kita hanya boleh berdoa mengharapkan ia memberikan yang terbaik pada kita. Aku percaya bahawa satu hari nanti, aku akan bertemu dengan seorang lelaki yang baik dah soleh dan bersedia menerimaku seadanya dan mencintaiku dengan seikhlas hatinya.

Maafkan sekiranya ada yang terasa dengan tulisan aku kali ini, ia hanyalah luahan hati dan perasaanku sahaja. Aku memohon maaf dari hujung kaki hingga hujung kepala.

No comments: